web
counter

Maria Oh Maria

Gift Kahwin Ads

Maria menjadi buta setelah diserang sejenis penyakit. Telah setahun dia menaiki bas seorang diri, menuju ke tempat kerja dan menyeberang jalan bersendirian. Pada mulanya, dia begitu takut untuk menempuhi kehidupan baru. Dari dunia yang penuh dengan cahaya, dia tiba-tiba masuk ke dunia kegelapan. Dunia di mana semuanya gelap dan dia harus meraba-raba setiap masa, menggunakan tongkatnya yang boleh dilipat itu.

Berita Yang Mengejutkan

Ketika pertama kali mendapat tahu yang dia harus menjadi buta, dia begitu marah. Kesal. Benci. Doa menyesali takdirnya sendiri. Dia mempersoalkan semua yang berlaku dan menyalahkan Tuhan. Dia menuduh Tuhan tidak adil. Kenapa harus dia yang menjadi buta, sedangkan dia tidak pernah menyakiti orang lain? Kenapa tidak perompak, penjenayah atau pembunuh? Kenapa harus dia?

cinta buta
cinta buta

Namun suaminya seorang yang sentiasa sabar menghadapi kerenahnya. Malah si suami memberikan sokongan dan motivasi kepada isterinya. Setiap hari, sang suami menghantar isterinya pergi kerja dan mengambilnya setelah jam 5 petang, walaupun tempat kerja mereka berjauhan. Tetapi kemudian, si suami terfikir, apa yang akan terjadi kepada isterinya, sekiranya dia tiba-tiba meninggalkan dunia ini, sedangkan isterinya, Maria, masih belum mampu berdikari?

Terpaksa Berdikari

Sejak itu, si suami memaksa isterinya untuk berdikari. Selama dua minggu, dia mengajar isterinya bagaimana untuk mengambil bas pergi ke tempat kerja, dan juga bagaimana untuk mengambil bas pulang. Setiap hari, dia memberi kata-kata semangat kepada isterinya bahawa Maria boleh melakukannya. Akhirnya tibalah hari yang ditunggu-tunggu, di mana Maria harus mengambil bas seorang diri, buat pertama kalinya.

Dia begitu gementar. Pelbagai persoalan bermain di minda. Adakah dia akan selamat sepanjang hari ini? Adakah dia akan menghadapi sebarang perkara-perkara sukar? Adakah dia akan mampu menghadapinya seorang diri? Adakah sesiapa akan cuba menyusahkannya, hanya semata-mata kerana dia buta? Oh Tuhan, dia begitu takut… tapi, kata-kata motivasi dari suaminyalah, yang memberinya kekuatan untuk melalui hari itu. Dan dia berjaya melaluinya.

Pengalaman Pelik

Hari ini, seperti hari-hari semalam, dia menaiki bas lagi untuk pulang ke rumah, seperti kebiasaan. Tapi sewaktu hendak turun dari bas, pemandu bas itu berkata kepada Maria, ‘Kamu beruntung sekali, ada yang selalu menjaga dan memerhatikan kamu setiap hari.”

Maria merasa hairan. Siapa pula yang menjaga dan memerhatinya setiap hari? Dia bertanya kepada pemandu bas itu.

“Saya kenal suami kamu. Setiap hari, setiap pagi ketika kamu menunggu bas, suami kamu sebenarnya ada di belakang. Begitu juga ketika setiap kali kamu turun dari bas ini, dia sudah siap menunggu kamu di situ. Dan pada saat kamu berjalan, dia memerhatikan kamu, sehinggalah kamu selamat sampai di rumah. Cuma dia mungkin tidak pernah memberitahu kamu, kerana dia mahu kamu belajar berdikari.”

Maria hampir menangis di situ. Betapa besar pengorbanan suaminya buat dirinya selama ini, hanya dia saja yang tidak mengetahui. Dialah sebenarnya yang tidak bijak menghargai apa yang dia miliki hari ini. Dia mungkin buta, tapi Tuhan menganugerahkannya dengan anugerah terbaik – iaitu seorang suami yang begitu mencintai dirinya, sehingga sanggup menghantar dan menunggu dirinya setiap hari, semata-mata untuk memastikan dia selamat pergi dan selamat kembali. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil…

Artikel berkaitan:
Ada Masalah ke Dengan Kahwin Muda?

manicure set promotion

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top